Monday, November 30, 2009

Keputusan pemilihan dan penempatan pelajar ke Tingkatan 1 SBP 2010
Keputusan pemilihan dan penempatan pelajar ke Tingkatan 1 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) akan diumumkan selewat-lewatnya 25 Disember 2009 ini. Kementerian Pelajaran menerima 95,826 permohonan untuk kemasukan Tingkatan Satu SBP bagi 2010 untuk mengisi 6,600 tempat yang ditawarkan.
Semakan mengenai keputusan ini boleh dibuat melalui laman web rasmi kementerian iaitu www.moe.gov.my dan mereka yang berjaya dijangka akan mendaftar diri di semua 53 SBP yang ditawarkan pada 11 Januari tahun depan.
Kementerian masih mengekalkan dasar 70 : 30 dalam pemilihan dan penempatan murid ke SBP bagi 2010, iaitu 70 peratus tempat untuk murid sekolah luar bandar dan 30 peratus untuk murid sekolah bandar.
Matlamat SBP pada dasarnya untuk memberi keutamaan menempatkan murid dari kawasan luar bandar. Oleh itu hanya sebahagian kecil daripada 48,171 murid yang memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini akan mendapat tempat di SBP.
Sementara itu pengetua SBP diberikan kuasa autonomi bagi memilih 20 peratus murid untuk ditempatkan di sekolah masing-masing. Pengetua akan memberi pertimbangan berdasarkan kebitaraan sekolah. Sebagai contoh, jika kebitaraan sekolah bidang muzik, murid yang mempunyai kemahiran dan latar belakang muzik akan diberikan keutamaan untuk dipanggil temu duga serta menjalani proses pemilihan oleh pihak sekolah.
Kementerian juga memberi keutamaan kepada anak daripada keluarga berpendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK). Murid dalam kategori ini akan dibantu dari segi bayaran persekolahan, makanan dan keperluan asrama. Mengikut data SBP sehingga 31 Oktober lalu, daripada 32,836 murid di SBP, seramai 5,794 murid diberikan bantuan untuk meneruskan pendidikan mereka dengan lebih sempurna.
Bagi menampung jumlah pelajar cemerlang yang semakin meningkat kelas khas untuk murid yang memperoleh keputusan 5A dalam UPSR akan diwujudkan di sekolah menengah harian biasa, bagi membolehkan mereka merasai suasana pembelajaran seperti di Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
Langkah ini bagi memastikan supaya murid cemerlang itu dapat mengekalkan prestasi masing-masing walaupun tidak terpilih untuk mengikuti persekolahan di SBP atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara.
Pelajar cemerlang ini juga boleh meneruskan pembelajaran di sekolah kluster atau sekolah cemerlang, bezanya cuma mereka tidak tinggal di asrama.

No comments: