Thursday, October 1, 2009

Permohonan ke Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional bagi sesi pengambilan tahun 2010
Aliran Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan tiga aliran Sekolah Menengah Teknik iatu Aliran Teknikal, Aliran Vokasional dan Aliran Kemahiran. Manakala Sekolah Menengah Vokasional terdapat dua aliran iatu Aliran Vokasional dan Aliran Kemahiran.

Aliran Teknikal
Aliran teknikal dikhususkan kepada pelajar yang cemerlang dalam akademik pada peringkat PMR. Objektif aliran teknikal adalah untuk membantu melahirkan tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan dan bukan kejuruteraan (pertanian, perdagangan, ekonomi rumahtangga). Aliran teknikal menyediakan 7 kursus iaitu Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Perdagangan, ERT Pengurusan Makanan, ERT Pengajian Pakaian dan Pertanian. Pelajar-pelajar aliran teknikal menduduki enam mata pelajaran teras pada peringkat SPM di samping mata pelajaran elektif teknikal dan sains. Setelah tamat pengajian di SMT, pelajar berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di peringkat diploma di IPTA (universiti, politeknik, kolej komuniti), kolej matrikulasi teknikal, kolej matrikulasi umum, atau Tingkatan 6.

Aliran Vokasional
Aliran vokasional memberikan peluang kepada pelajar yang berpencapaian baik dan sederhana dalam akademik dan berminat kepada pembelajaran bercorak vocational (berkaitan pekerjaan). Isi kandungan aliran vokasional mempunyai komponen teori dan praktikal yang seimbang. Objektif aliran ini adalah untuk membantu melahirkan separa profesional (juruteknik/pembantu teknik) dalam bidang kejuruteraan dan bukan kejuruteraan. Aliran vokasional menyediakan 18 kursus iaitu Pengaturcaran Komputer, Automotif, Elektrik & Elektronik, Fesyen, Katering, Pelancongan, Pengurusan Teknologi Pejabat, Pengurusan Perniagaan, Penyejukan & Penyamanan Udara,Amalan Bengkel Mesin, Kimpalan, Binaan Bangunan, Seni Kecantikan, Perkhidmatan & Perkembangan kanak-kanak, Bakeri, Hortikultur Hiasan & Lanskap, Kejenteraan Ladang dan Pengurusan Ladang. Pelajar aliran vokasional menduduki enam mata pelajaran teras yang diambil di samping dua mata pelajaran elektif vokasional. Setelah tamat pengajian, pelajar berpeluang ke IPTA, IPTS, dan institut latihan kemahiran awam dan swasta, atau terus ke alam pekerjaan.

Aliran Kemahiran
Pelajar aliran kemahiran dikhususkan kepada pelajar pencapaian rendah pada peringkat PMR dan sangat cenderung kepada pembelajaran secara hands-on (amali). Isi kandungan kursus-kursus aliran kemahiran ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia. Pelajar yang tamat dengan jayanya mengikut peraturan yang ditetapkan oleh JPK akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf oleh industri. Pelajar akan dilatih menjadi tenaga kerja mahir untuk bekerja di industri atau membuka perniagaan sendiri apabila tamat pengajian. Disamping itu juga, pelajar boleh melanjutkan latihan kemahiran pada peringkat yang lebih tinggi di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), kolej komuniti, dan pelbagai institut latihan kemahiran swasta.

Aliran kemahiran menyediakan 19 kurusus dalam 5 bidang yang berbeza iaitu Mekanikal – Pemesin Am, Jurukimpal Arka Logam Berperisai, Pelukis Pelan Mekanikal, Mekanik Kenderaan Motor dan Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara – Domestik, Awam – Pembuat Perabot, Jurubina Bangunan, Jurubina Bangunan Berasaskan Kayu, Jurukerja Paip dan Pelukis Pelan Senibina, Elektrik – Juruteknik Elektrik Rendah, Juruteknik Rendah Elektronik Industri – Peralatan dan Mekanik Teknologi Elektronik Radio dan Video, ERT – Pembantu Penyedia Makanan, Pembuat Pakaian Wanita, Pendandan Rambut Muda dan Jurukecantikan, Pertanian – Juruteknik Rendah Akuakultur dan Pekerja Ladang Pertanian. Mulai tahun 2010, BPTV memperkenalkan program traineeship kepada pelajar aliran ini jika mereka berminat dan mendapat persetujuan ibubapa. Program ini membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran di sekolah selama 3 hari, dan 2 hari di tempat kerja yang sesuai dengan kursus yang diikuti pelajar. Tempat kerja ditentukan dengan persetujuan sekolah dan ibubapa dengan kerjasama industri. Program traineeship ini memberi peluang pelajar mendapat pendedahan awal kepada alam pekerjaan semasa di bangku sekolah lagi.

Syarat Umum Pemohon mestilah warganegara Malaysia.Pemohon hendaklah: Berada di Tingkatan 3 dan telah menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Tahun 2009.Dilahirkan dalam tahun 1994 atau selepasnya.Kesihatan Mestilah sihat tubuh badan dan sesuai dari segi fizikal.Perkara-perkara berikut perlu diambil kira:
Bebas dari penyakit seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis, alahan (allergy), pekak, sawan (epilepsy), yang serius dan sebagainya.
Penyakit-penyakit ini akan membahayakan terutama semasa menjalankan kerja kursus dan kerja amali.Pemohon kursus Kejuruteraan Elektrik (Aliran Teknikal), kursus Elektrik dan Elektronik (Aliran Vokasional) serta kursus Mekanik Teknologi Elektronik Radio & Video (Aliran Kemahiran) dan Juruteknik Rendah Elektronik Industri – Peralatan (Aliran Kemahiran) mestilah tidak rabun warna. Syarat Khusus Di samping memenuhi syarat-syarat umum di atas, pemohon perlu juga memenuhi syarat-syarat khusus pencapaian minimum PMR bagi aliran dan kursus yang dipohon.Sila rujuk Kelayakan Akademik Ke Sekolah Menengah Teknik / Vokasional 2010. Permohonan Permohonan hendaklah dibuat secara online melalui laman web Kementerian Pelajaran atau terus ke pautan Sistem Permohonan Dalam Talian Ke Sekolah Menengah Teknik / Vokasional 2010.Sila semak Syarat Khusus pencapaian minimum kelayakan akademik PMR yang diperlukan dan panduan mengisi borang sebelum membuat permohonan.Keputusan permohonan dijangka akan diumumkan pada 18 Januari 2010. Mereka yang tidak berjaya boleh membuat rayuan terus ke Sekolah Menengah Teknik yang berkenaan. Maklumat Permohonan dan maklumat lanjut sila kunjungi laman web Permohonan Dalam Talian Ke Sekolah Menengah Teknik / Vokasional 2010.Sila semak Senarai Sekolah Teknik untuk mengetahui sekolah, aliran dan kursus yang ditawarkan.Sebarang pertanyaan dan maklumat tambahan boleh diperolehi dengan menghubungi Sekolah Menengah Teknik yang berhampiran atau Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional di talian 03-8884 5154 / 5067 / 5088 / 5084 / 5092.

Tarikh Tutup Permohonan untuk ke Sekolah Menengah Teknik / Vokasional 2010 akan ditutup pada 4 Januari 2010.

No comments: