KOTA BHARU 22 Mac - Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal hari ini berkongsi rahsia kejayaannya dengan 200 pelajar sempena Ekspo Pendidikan Mara peringkat negeri di sini. Pada majlis di Auditorium Mara di sini itu, Madihah yang buat pertama kalinya menghadiri program seperti itu menyatakan tentang pentingnya peranan para guru yang berjaya melonjakkan keupayaan dirinya untuk muncul sebagai pelajar cemerlang. ''Mereka bersedia mengetepikan kepentingan sendiri apabila diminta membantu ketika saya menghadapi masalah dalam pelajaran," ujarnya. Menurutnya, dia juga sentiasa bertanya kepada guru bagi mendapatkan penjelasan dan kefahaman tentang sesuatu subjek. ''Pernah saya bertanyakan soalan kepada seorang guru ketika dia sedang membuka pintu kereta untuk pulang dan dia menangguhkan hasratnya itu bagi membantu saya," katanya. Selain itu katanya, bagi mengelakkan kebosanan semasa belajar, dia berusaha meminati sesuatu pelajaran antaranya menyukai guru-guru itu. ''Saya berusaha menyayangi semua guru dan mahu menggembirakan mereka dengan keputusan yang cemerlang," ujarnya semasa sesi soal jawab dengan pelajar. Nik Nur Madihah berkata, dorongan seterusnya berpunca daripada kesusahan hidup yang dialaminya. ''Saya perlu berusaha gigih kerana kecemerlangan itu merupakan hadiah paling berharga untuk kedua ibu bapa,'' ujarnya. Katanya, dia juga mengamalkan amalan harian termasuk solat hajat dan menyertainya dengan doa.
No comments:
Post a Comment