“Cikgu,
boleh ke pakai kalkulator fx-570ES tu untuk guna dalam exam nanti?”
“Tahun lepas
kami dilarang menggunakan fx-570ES tu dalam peperiksaan. Cuma boleh guna fx-570MS
yang kelabu gelap tu aje”
Ada beberapa
perdebatan dalam membenarkan murid menggunakan kalkulator fx-570ES dan fx-570ES
PLUS dalam peperiksaan dengan alasan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan
oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Kalau mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas
bil. 6/2002, Penggunaan Kalkulator Saintifik Di Sekolah
Menengah Untuk Pengajaran dan Pembelajaran Serta Peperiksaan
Kebangsaan menyatakan spesifikasi am kalkulator yang boleh digunakan dalam
peperiksaan:
- Mematuhi prinsip pengiraan operasi Matematik.
- Mempunyai paparan sekurang-kurangnya 8 digit dengan tambahan 2 digit eksponen.
- Tidak boleh diprogramkan.
- Boleh menukar unit darjah kepada unit radian dan sebaliknya.
- Boleh menukar pecahan kepada perpuluhan dan sebaliknya.
- Boleh menyimpan nilai sesuatu nombor (memory).
Berikut
adalah spesifikasi fx-570ES (dipetik dari laman web rasmi Casio)
Ramai salah
sangka bahawa 570ES tidak boleh digunakan dalam peperiksaan kerana ianya boleh
diprogramkan. Kalkulator 570ES dan 570ES PLUS tidak termasuk dalam kategori
kalkulator yang boleh diprogramkan. Kalkulator jenama Casio yang boleh
diprogramkan setakat ini cuma fx-5800P, fx-50F PLUS, fx-50FH, fx-3650P,
fx-3950P dan fx-4500PA; yang mana kesemuanya mempunyai PROGRAM FUNCTION. SOLVE
FUNCTION yang terdapat dalam fx-570MS, fx-570ES dan fx-570ES PLUS
tidak termasuk dalam fungsi yang boleh diprogramkan.
Beberapa
polemik berkenaan penggunaan fx-570ES dan fx-570ES PLUS dalam peperiksaan
timbul apabila pada tahun 2009, Ketua Pengawas Peperiksaan SPM di sebuah
sekolah tidak membenarkan penggunaan fx-570ES dalam dewan peperiksaan.
dan berikut
adalah respon dari Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pelajaran Malaysia dan
Lembaga Peperiksaan Malaysia berhubung isu terbabit (atau klik disini untuk
muat turun keratan akhbar)
Calon SPM
boleh guna kalkulator ikut spesifikasi
Kementerian
Pelajaran ingin merujuk kepada surat pembaca bertajuk ‘Calon SPM dihalang guna
kalkulator’ yang disiarkan pada 24 November 2009 yang lalu.
Lembaga
Peperiksaan Malaysia (LPM) dan kementerian ingin mengucapkan terima kasih dan
mengambil maklum mengenai keprihatinan terhadap perkara ini.
LPM dan
kementerian ingin menjelaskan bahawa setiap calon Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) dibenarkan untuk membawa masuk ke dewan/bilik peperiksaan kalkulator
saintifik yang tidak boleh diprogramkan.
Untuk
makluman, syarat penggunaan kalkulator adalah seperti dalam syarat yang ada
dalam buku peraturan dan panduan peperiksaan SPM 2009.
Spesifikasi
am bagi kalkulator yang dibenarkan adalah seperti berikut:
# Mematuhi
prinsip pengiraan operasi matematik
# Mempunyai
paparan sekurang-kurangnya 8 digit dengan tambahan dengan 2 digit Eksponen
# Tidak
boleh diprogramkan
# Boleh
menukar unit darjah kepada unit radian dan sebaliknya
# Boleh
menukar pecahan kepada perpuluhan dan sebaliknya
# Boleh
menyimpan nilai sesuatu nombor (memory)
Oleh yang
demikian hanya ciri-ciri yang digariskan ini saja dibenarkan. LPM tidak dapat
memperincikan jenis atau jenama kalkulator yang tepat yang boleh dibawa oleh
calon ke dalam dewan/bilik peperiksaan kerana terlalu banyak ciri-ciri dan
jenis kalkulator yang ada di pasaran.
Bagaimanapun,
kalkulator Casio fx570ES dan Casio fx570MS memenuhi spesifikasi di atas dan
boleh digunakan untuk peperiksaan. Sehubungan itu, maka diputuskan bahawa calon
dibenarkan membawa masuk kalkulator Casio fx570ES atau Casio fx570MS ke
dewan/bilik peperiksaan bagi kertas Matematik Tambahan 1 dan 2 yang berlangsung
pada Rabu, 25 November lalu.